Monday 28 March 2011

Baha'iyah....

Nama agama Baha'iyah di ambil sempena nama Baha'ullah. Kadangkala dinisbahkan kepada gelaran pengasasnya al-Babiyah. 


Antara kesesatan ajaran yang dibawa oleh Baha'ullah: 
1 . Membawa kesesatan yang sama dengan gurunya Mirza Ali. Dan Beliau mengaku bahawa kedudukan dirinya setaraf dengan gurunya. Bahkan didakwa lebih agung dari gurunya.
2 . Beliau mengaku bahawa Tuhan telah menjelma di dalam dirinya. Beliau adalah sebagai penyempurna ajaran yang telah dibawa oleh gurunya.
3 . Beliau menggelar dirinya sebagai `Mazharullah' atau `Manzhurullah'. Iaitu Tuhan menjelma dalam pemunculannya dengan keelokan zat ketuhanan, di mana keelokan itu tidak dapat ditandingi oleh kecantikan wajah perempuan. Dari itu, para pengikutnya melihat Baha'ullah bukan sebagai manusia biasa.
4 . Beliau telah membukukan ajaran syiriknya. Di dalamnya menentang Al-Qur'an dan buku gurunya al-Bayan. Buku yang paling terkenal ialah al-Aqdas. Antara dakwaan sesat yang terkandung di dalam buku berkenaan:
a . Isikandungannya diwahyukan Allah kepadanya.
b . Beliau kekal bersama kekalnya zat Allah.
c . Buku berkenaan mewakili seluruh ilmu ketuhanannya, tetapi masih ada ilmu lain yang khusus diberikan kepada para sahabat pilihannya. Selain dari mereka tidak ada yang dapat menerima dan mempraktikkan ilmu kebatinan ini.

Antara seruan Baha'ullah yang penting ialah: 


1 . Beliau berpendapat bahawa apa yang diserukannya merupakan agama baru yang bukan Islam.
2 . Membuang semua ikatan keislaman, sehingga aliran ini tidak ada kena mengena dengan agama Islam.
3 . Ia menyamaratakan semua manusia yang berlainan warna kulit, agama dan isi ajarannya.
4 . Beliau mencipta undang-undang keluarga baru serta menentang undang-undang keluarga Islam.
5 . Beliau menghapuskan sembahyang berjamaah kecuali sembahyang jenazah.
6 . Ka'bah bukanlah kiblat para pengikutnya. Kiblat mereka ialah tempat di mana Baha'ullah duduk.
7 . Hukum-hakam syarak dalam jual beli dibatalkan oleh beliau.
8 . Beliau menyerang para ulamak Islam, para pendeta Kristian dan Yahudi. 

***************************

Kematian Baha'ullah dan Penggantinya 
Baha'ullah mati pada bulan May tahun 1892. Agamanya Baha'iyah telah diganti oleh anaknya Abbas Afandi. Beliau digelar sebagai Abdul Baha' atau Ghusn A'zhom
 (cabang mulia). 


Abbas tidak seperti ayahnya yang mengajarkan ajaran penjelmaan tuhan di dalam diri. Beliau lebih menumpukan kajian terhadap kita-kitab suci Yahudi dan Kristian untuk dipelajari. 

Jika Mirza Ali Muhamad sebagai pengasas agama Baha'iyah telah menghancurkan Islam atas nama pembaharuan, maka penerusnya iaitu Baha'ullah telah menyempurnakannya dengan mengingkari dan membuang seluruh ajaran Islam. Manakala Abbas pula merasakan tidak cukup dengan hanya membuang ajaran Islam, lalu beliau pergi kepada kitab-kitab suci Yahudi dan Kristian untuk mengambil ajarannya sebagai ganti dari al-Quran. 

Siapakah Penganut Agama Baha'iyah 
Oleh kerana Abbas menyandarkan agama Baha'iyah kepada kitab suci Yahudi dan Kristian, maka ramailah penganut-penganut agama Yahudi, Kristian dan Majusi yang terpengaruh dengannya. 


Guru pertama dan kedua agama Baha'iyah telah gagal dan kecewa mempengaruhi kaum muslimin. Dan guru ketiganya telah beralih arah untuk mempengaruhi para penganut agama Yahudi, Kristian dan Majusi. 

Pusat Agama Baha'ullah 


Agama Baha'ullah telah berkembang di Amerika Syarikat. Markaz utamanya ialah di Chicago.

Pandangan Islam Terhadap Agama Baha'iyah
1 . Agama Baha'iyah adalah satu agama baru yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Ia bukan satu mazhab dari mazhab-mazhab Islam, samada mazhab yang benar atau yang sesat.

2 . Berdasarkan kepada isikandungannya yang mengandungi kesyirikan, maka sesiapa yang mempercayainya dianggap telah murtad dari agama Islam - Na'uzubillahi Min Zalik.

3 . Islam adalah agama yang berdasarkan kepada prinsip tauhid kepada Allah yang Maha Esa. Islam menolak dengan tegas fahaman syirik seperti Allah menjelma di dalam diri seseorang.

4 . Nabi Muhamad adalah penutup segala rasul-rasul. Tidak ada rasul yang akan dibangkitkan selepas itu. Dengan berakhirnya pengutusan rasul dan nabi, maka berakhir juglah penurunan wahyu dari Allah Taala. Oleh itu barangsiapa yang mendakwa dirinya sebagai rasul atau menerima wahyu dari Allah, maka dakwaan itu adalah dakwaan yang paling dusta.

5 . Al-Quran adalah penutup segala kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah. Ia adalah mukjizat tentang kebenaran pengutusan Muhamad sebagai Rasulullah. Al-Quran adalah terpelihara dari penyelewengan sehingga hari kiamat. Undang-undang dan hukum-hakam yang ada di dalamnya sesuai untuk setiap zaman dan keadaan. Ia tidak boleh diubah oleh sesiapapun. Oleh itu barangsiapa yang mendakwa bahawa ada kitab suci lain setelah al-Quran, maka dia adalah pendusta. Begitu juga dengan mengingkari salah satu dari hukum-hakamnya, maka dia telah terkeluar dari ajaran Islam yang suci.

6 . Segala ilmu mengenai tauhid dan syariat Islam telah sempurna diturunkan oleh Allah melalui perantaraan nabi Muhamad s.a.w.

Oleh itu adalah tidak benar jika ada orang yang mendakwa bahawa ada ilmu lain mengenai tauhid dan syariat yang tidak diberitahu kecuali orang-orang tertentu sahaja. Dan Rasulullah s.a.w. sendiri adalah bersifat dengan sifat Tabligh dan Amanah. Tidak mungkin Baginda s.a.w. menyembunyikan syariat Allah dari pengetahuan umatnya.

7 . Sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada isi ajaran al-Quran dan Sunnah NabiNya. Kita tidak boleh mensyirikkanNya, menerima sebahagian serta mengingkari sebahagiannya, atau menolak semuanya.

8 . Sentiasalah berusaha dan berdoa agar Allah tidak memesongkan keimanan kita

No comments:

Post a Comment